
KOTA BELUD: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian N.8 Pintasan, Kota Belud telah dilancarkan secara rasminya pada Khamis lalu bertempat di Dewan Serbaguna Dudar Laut, di sini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Presiden Parti PBRS yang juga Naib Pengerusi Barisan Nasional dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Dalam ucapannya, beliau mengimbas kembali tentang penubuhan awal parti tersebut sebagai sebuah parti pembangkang yang mengutamakan kepentingan rakyat.
"Di awal penubuhan pada 1994, parti ini adalah sebuah parti pembangkang namun tetap berpaksi kepada kesejateraan dan kepentingan rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama.

"Dalam 30 tahun mengharungi kemelut arus politik, PBRS terpaksa akur apabila sekejap berada dalam kerajaan kemudian menjadi pembangkang tetapi pendekatan yang diambil ialah tetap setia, duduk diam dan buat kerja sesuai dengan motto parti iaitu 'Berjuang Untuk Kecemerlangan Rakyat'.
"Kini PBRS menyertai Kerajaan Perpaduan yang menyatupadukan semua untuk menokthakan kemelut dalam negara," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan dan kerjasama sangat penting kerana itu parti masih memerlukan kerjasama dari pihak- pihak lain.
"Baru- baru ini PBRS telah rasmi menjalinkan kerjasama dengan United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO), tujuan utama adalah demi meningkatkan taraf kehidupan rakyat Sabah khususnya.
"Masa depan Sabah akan cerah jika saling berganding bahu dan sehubungan dengan itu, saya menyeru saudara Jairin Samud agar menjaga kebajikan masyarakat dan saling bekerjasama," akhirinya.

Sementara itu Ketua Bahagian PBRS N.8 Pintasan, Kota Belud iaitu Jairin Samud dalam ucapannya berkata, beliau sangat berterima kasih kerana kesudian Datuk Arthur merasmikan majlis pada hari itu dan turut bersyukur kerana kehadiran beberapa ahli- ahli yang berhormat sebagai tanda sokongan.
"Untuk pengetahuan datuk, keluasan Pintasan yang memiliki lebih kurang 35 km persegi ini mempunyai tiga suku kaum yang besar iaitu Dusun Tobilung, Irranun dan Bajau, 35 peratus penduduknya menjalankan aktiviti pertanian.
"Sungguh pun demikian, untuk mendapatkan hasil tanaman seperti yang diharapkan memang sukar kerana beberapa masalah yang mereka hadapi seperti tiada saliran yang baik, untuk mendapat air yang bersih pun belum ada terutama di kawasan Kampung Dudar, Kampung Sarang dan Kampung Taburon, lebih menyukarkan lagi apabila musim kemarau," katanya.
Beritahunya, selain tidak mempunyai jalan pertanian, penduduk kampung juga kekurangan bibit bermutu untuk ditanam dan besarlah harapan agar pihak tertentu dapat membantu menangani masalah tersebut sekali gus mengenal pasti keadaan tanah supaya dapat menanam tanaman yang sesuai dan memberi pulangan yang dapat menguntungkan penduduk.

"Kami sangat mengharapkan bantuan berupa inovasi dan teknologi untuk membangun sektor pertanian melalui pembaikan proses dan penggunaan teknologi moden, bagi meningkatkan hasil pertanian dan secara tidak langsung dapat menaikkan semangat belia- belia kampung untuk terjun dalam bidang pertanian dengan jayanya.
"Saya berpendirian teguh dan rela membantu petani- petani ini untuk menyampaikan masalah mereka atau memohon bantuan di mana- mana pihak di bawah kementerian datuk bagi menyelesaikan masalah mereka," katanya lagi.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Jairin turut menyatakan bahawa jumlah keahlian PBRS di Pintasan masih lagi sedikit memandangkan Dun Pintasan itu baharu sahaja diujudkan, namun dia berharap dengan rasminya Bahagian N.8 Pintasan itu maka ianya akan dapat menarik lebih ramai anak- anak muda mahupun masyarakat Pintasan untuk mendaftar sebagai ahli.
