
Penyanyi dan Komposer Jimmy Santaim pada Isnin terkejut apabila menjumpai satu benda aneh ditanam di sudut penjuru simen menghadap terbenam matahari, di belakang cafenya. Perkara ini dikongsikannya di halaman Facebook dan mendapat perhatian warga net.
Ciapnya, dia dan isterinya telah mula membuka café sejak 2019 tanpa menggangu orang lain dan berniaga secara jujur, berniaga dengan titik peluh sendiri, termasuklah membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan serta menghabiskan wang simpanan semata-mata untuk memastikan perniagaan mereka berjalan dengan lancar.

“Bukan mudah untuk memulakan perniagaan, tapi saya tidak menyangka perkara ini berlaku. Saya sangka alaman seperti ini sudah pupus, rupanya masih ada pula manusia seperti ini.
“Saya tidak mahu tahu tentang apa benda ini dan saya tidak mahu fikir, namun saya sudah merujuk kepada beberapa orang yang arif berkenaan dengan agama,” ciapnya.
Jimmy turut mengakui pernah ditegur oleh seorang pelanggan yang makan di café mereka sebelum ini yang memberitahu ada benda tersebut dan menasihatinya untuk berhati-hati.
“Ketika itu saya tidak berapa peduli sebab saya sangat tidak percaya perkara itu.

“Saya juga tidak pernah meminta, menganggu, apa lagi menjatuhkan dan memusuhi orang lain. Paling penting adalah saya tidak pernah kacau periuk nasi orang, apa lagi menabur pasir di periuk nasi orang,” tambahnya.
Sungguhpun perkara tersebut berlaku pada dirinya namun dia mengambil keputusan untuk tidak mencari siapa yang melakukan perkara itu, dan menyerahkan sepenuhnya kepada Tuhan.
“Tuhan lebih berkuasa, kerana saya percaya benda ini dijumpai pun kerana campur tangan Tuhan. Jadi saya serahkan kepada Tuhan untuk menentukan apa hukuman bagi mereka yang suka buat benda seperti ini.
“Saya tidak layak, saya cuma boleh bersabar dengan apa yang berlaku ini. Moga pelakunya akan mendapat hidayah dan keinsafan,” akhirinya.

