
Baru-baru ini, Penyanyi dan Pelakon John Samud meluahkan rasa kesal di TikTok setelah filem terbitannya bertajuk Namatai From Kinabalu With Love “Namatai” telah dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan menjual kepada sebuah aplikasi yang disyaki berpangkalan di Indonesia, serta telah ditayangkan secara percuma.
Dalam kenyataannya yang berdurasi lima minit 31 saat itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana filem tersebut terlepas begitu sahaja dan disiarkan di aplikasi berkenaan yang sama kualitinya dengan video tulen dan bukan dirakam dipanggung wayang.
“Mereka membuat filem tersebut seolah-olah filem itu adalah mereka punya. Jika demikian mesti ada orang yang telah menjual filem tersebut kepada pengendali aplikasi berkenaan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau telah membuat laporan polis, dan seterusnya meminta kerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Komunikasi dan Digital, meminta kerjasama daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dan akan melantik Peguam untuk meneliti masalah ini jika perlu.
“Kita tidak boleh dibiarkan perkara ini kerana kalau filem-filem kita senang diambil dan dijual dengan orang lain, bagaimana dengan kita yang mengeluarkan jutaan ringgit untuk membuat filem.
“Kos membuat filem bukan murah. Produk yang kita buat ini bukan dibuat untuk siaran YouTube, atau konten Telemovie atau apa-apa konten yang menggunakan telefon pintar. Filem ini adalah filem yang ditayangkan di Panggung.
“Kita membelanjakan jutaan ringgit untuk membuat wayang, tetapi dengan mudahnya dicetak rompak sehinggakan semua orang boleh menonton secara percuma dalam aplikasi berkenaan,” katanya lagi.
Beliau turut berharap setelah laporan polis dibuat, semua urusan dipermudahkan dan dalang disebalik perkara tersebut dapat dicari, serta menggesa agar masyarakat menyokong usaha para karyawan seni kreatif dan tidak mengambil hak intelektual orang lain tanpa kebenaran.
Sehingga artikel ini ditulis, seramai 63700 jumlah penonton telah menonton video kenyataannya yang telah dikongsi pada 4 Oktober 2024 dan mendapat pelbagai reaksi warganet.



