Ciplak Lirik Lagu: PERTISA Tidak Akan Berdiam Diri

Image
KOTA KINABALU - Industri seni tempatan Sabah digemparkan dengan pendedahan bahawa lirik lagu beberapa penyanyi terkenal telah diciplak dan diproses menggunakan kecerdasan buatan (AI) tanpa kebenaran. Insiden ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan penggiat seni, yang menuntut tindakan tegas terhadap individu tidak bertanggungjawab tersebut.

Presiden Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Guadik Ansiw atau lebih dikenali sebagai Adex, mengutuk keras perbuatan menciplak lirik tanpa izin. Menurutnya, tindakan ini bukan sahaja tidak beretika, tetapi juga mencerminkan kurangnya kesedaran terhadap hak cipta karya seni.

 

Tonton filem-filem Sabahan di FH Cinema

Image
"Menciplak sama seperti mencuri hak orang lain. Dalam kes ini, walaupun seseorang mempunyai pengetahuan dalam teknologi seperti AI, ia tidak bermakna mereka boleh mengambil karya orang lain sewenang-wenangnya. Lebih menyedihkan, perbuatan ini dilakukan oleh individu dalam kalangan kita sendiri, seolah-olah mencuri dalam keluarga sendiri," katanya ketika dihubungi.

Adex menegaskan bahawa industri seni Sabah mempunyai pasaran yang kecil dan seharusnya disokong dengan cara yang betul seperti membeli produk asli atau menstrim lagu artis tempatan di platform digital dan media sosial.

Setakat ini, tiga penyanyi yang dikenal pasti sebagai mangsa penciplakan adalah Benn Simon, Ateng, dan Meeda Hamzani. PERTISA menyarankan agar mereka segera membuat laporan polis dan meminta pihak YouTube menurunkan video serta lagu-lagu yang telah diciplak. Jika tiada tindakan diambil oleh pihak penciplak, langkah undang-undang boleh diteruskan bagi melindungi hak mereka.
 
Image
"Mungkin sudah tiba masanya untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai hak cipta dan kepentingan harta intelek dalam industri seni. Jika seseorang benar-benar berbakat, mereka seharusnya mencipta lirik sendiri, bukannya mengambil hasil kerja orang lain tanpa izin," tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa ini bukan isu keangkuhan artis, tetapi lebih kepada memastikan hak mereka tidak dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Menurutnya, eksploitasi karya artis tempatan bukanlah sesuatu yang baru dan generasi masa kini tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini.

"Benn dan Ateng adalah ahli PERTISA dan kami akan menghubungi mereka bagi membantu menangani isu ini. Selain itu, PERTISA juga akan terus memantau perkembangan isu ini dan mempertimbangkan tindakan susulan bagi mengelakkan lebih ramai artis tempatan yang menjadi mangsa penciplakan karya," katanya lagi.

Adex turut menyeru orang ramai untuk menyokong karya tempatan secara sah dan menghormati hak cipta agar industri seni Sabah dapat berkembang dengan lebih sihat dan berdaya maju.
 
Image

Contact Info

No. 517 Lorong Pasir Putih 8A,
Taman Pasir Putih,
88200 Putatan Sabah.

Copyright © 2026 F Harmthon Production Sdn Bhd (1329111-D).

Register Form

Cancel

Sign in to your account

Register Form

Cancel

Sign in to your account