
KIULU, 15 April 2025 — Bekas Setiausaha Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) N.15 Kiulu, Freddy Harmthon, mencuri tumpuan apabila hadir ke sambutan ulang tahun ke-40 PBS yang dianjurkan oleh PBS N.15 Kiulu pada Ahad lalu di Minurod Camp Site, Pahu, Kiulu. Kehadirannya selepas lebih 14 tahun menjauh daripada dunia politik menimbulkan pelbagai reaksi dan persepsi dalam kalangan pemerhati politik serta warga tempatan.
Freddy yang kini aktif memperkasa industri seni kreatif tanah air menerusi platform digital FH Cinema, merupakan antara anak muda Dusun yang berjaya membawa inovasi dalam bidang pemasaran digital filem dan muzik ke tahap baharu di Malaysia dan Asia. Beliau juga merupakan Pengarah Urusan F Harmthon Production Sdn Bhd, dan merupakan graduan Sarjana dalam bidang Occupational Safety, Health and Risk Management.
Terdahulu, Freddy pernah memegang jawatan Setiausaha Pemuda PBS N.15 Kiulu sekitar tahun 2011 sebelum meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan parti ketika itu, khususnya berkaitan isu pembangunan masyarakat Kiulu. Pada Pilihan Raya Umum 2013, beliau membantu parti lain sebelum memilih untuk tidak lagi aktif dalam politik akibat kekecewaan terhadap landskap politik yang dianggap tidak berubah.
Selepas itu, beliau menyertai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu di Sabah dan memainkan peranan penting dalam memperkasakan organisasi tersebut. Sebagai Ketua Bahagian NGO berkenaan di Tuaran, Freddy berjaya menyelesaikan pelbagai isu masyarakat termasuk membantu seorang penduduk di Tenghilan mendapatkan kad pengenalan selepas hampir 30 tahun menghadapi kesulitan. Beliau kemudiannya melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden NGO tersebut susulan konflik dalaman.
Kini, beliau bergerak secara bebas dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pembangunan industri kreatif. FH Cinema, yang diasaskannya, dilihat sebagai platform digital pertama seumpamanya di Malaysia yang memberi tumpuan kepada pemasaran kandungan filem dan muzik tempatan, setaraf dengan platform antarabangsa seperti Netflix.
Kehadiran Freddy ke majlis PBS Kiulu baru-baru ini disambut mesra oleh rakan-rakan lama, malah ada yang menyuarakan rasa bangga dan teruja dengan kehadiran semula beliau bersama PBS setelah sekian lama menyepi.
“Terus terang saya katakan, memang agak terharu kerana tidak menyangka ramai yang masih mengenali saya dan mengikuti perkembangan saya. Tujuan utama saya hadir adalah untuk menyatakan sokongan kepada Yang Berhormat Datuk Joniston Bangkuai atas usaha beliau memperkasa industri pelancongan di Kiulu,” ujar Freddy yang juga merupakan penyanyi terkenal di Sabah ketika dihubungi.
Menurut beliau, pencapaian Kiulu sebagai pusat eko pelancongan desa pertama dan menerima kehadiran lebih 60,000 pelancong pada tahun 2022 merupakan kejayaan besar yang wajar diberi sokongan penuh oleh masyarakat setempat.

“Saya percaya, dengan kehadiran pelancong yang konsisten, Kiulu akan terus diberi keutamaan dalam pembangunan prasarana termasuk jalan raya, elektrik, capaian internet, pendidikan dan peluang pekerjaan kepada penduduk,” tambahnya.
Mengulas tentang desakan sesetengah pihak agar beliau kembali aktif dalam politik, Freddy menjelaskan bahawa komitmennya terhadap FH Cinema dan industri kreatif menjadi keutamaan ketika ini.
“Buat masa ini, keutamaan saya adalah memperkukuh FH Cinema agar ia menjadi platform yang mampu memberi manfaat besar kepada anak muda, mencipta peluang pekerjaan serta menjana ekonomi melalui seni kreatif,” katanya.

Meskipun tidak akan kembali aktif dalam politik, Freddy memberi jaminan bahawa beliau akan terus menyokong kepimpinan Datuk Joniston dan PBS Kiulu, termasuk menyumbang idea serta membantu mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan di Kiulu melalui filem dan dokumentari terbitan syarikatnya.
“Saya percaya dengan visi dan komitmen Datuk Joniston, Kiulu akan terus membangun. Saya akan terus membantu sedaya upaya melalui kepakaran saya dalam bidang kreatif.
“Datuk Joniston telah memulakan langkah dengan baik sehingga Kiulu kini dikenali bukan hanya di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa. Beliau juga memiliki hubungan baik dengan pelabur asing yang berminat untuk melabur dalam pelbagai bidang berkaitan pelancongan di Sabah. Dengan kedudukannya yang mesra pelabur, saya percaya beliau mampu memberi impak yang besar sekiranya diberi peluang menjadi Menteri penuh selepas pilihan raya akan datang,” katanya mengakhiri perbualan.


