
Kota Kinabalu, 4 Julai – Platform penstriman digital Asia, FH Cinema, mengumumkan pelancaran fasa baharu carta lagu 2025 yang akan menyenarai semula hanya 30 lagu terbaik daripada lebih 100 penyertaan terdahulu.
Fasa baharu ini dilaksanakan selepas penangguhan sementara carta tersebut berikutan kekangan operasi serta kurangnya sambutan menyeluruh pada peringkat awal. Walaupun begitu, beberapa lagu berjaya mencatat undian mencecah ribuan, sekali gus mendorong pihak pengurusan FH Cinema untuk memulakan semula carta ini dengan pendekatan yang lebih teratur dan kompetitif.
Menurut Pengarah Urusan FH Cinema, Freddy Harmthon, proses pemilihan semula akan bermula pada Sabtu, 12 Julai 2025, dan hanya lagu-lagu yang memenuhi kriteria dari segi mutu rakaman, penulisan lirik serta potensi tontonan akan terpilih untuk terus bersaing dalam carta rasmi.
Selain itu, katanya, pemilihan semula ini penting bagi memastikan carta lagu mencerminkan kualiti sebenar muzik tempatan dan bukannya bergantung sepenuhnya kepada populariti semata-mata.
“Kami menghargai semua penyertaan lalu, tetapi kami juga percaya carta ini perlu dikemaskan agar menjadi ruang yang benar-benar profesional. Ada lagu berkualiti tinggi yang kurang mendapat perhatian, dan ada lagu popular yang kurang dari segi nilai produksi. Fasa baharu ini akan membaiki ketidakseimbangan itu,” katanya.
Sebagai galakan kepada penyanyi dan pencipta lagu, FH Cinema turut memperkenalkan sistem royalti baharu. Di bawah sistem ini, mana-mana lagu yang berjaya mencapai 1,000 tontonan rasmi melalui sistem penstriman FH Cinema akan menerima bayaran royalti sebanyak RM3,000, manakala lagu yang mencapai 2,000 tontonan akan menerima bayaran royalti sebanyak RM6,000. Tontonan yang dikira adalah daripada pengguna berdaftar yang mengundi atau melanggan secara sah melalui sistem berbayar FH Cinema.
Royalti ini akan dibayar dalam satu majlis anugerah khas FH Cinema, yang turut akan menggabungkan anugerah bagi kategori filem. Tarikh dan butiran majlis akan dimaklumkan kelak.
Selain penyenaraian semula, FH Cinema juga membuka penyertaan baharu kepada pencipta lagu yang berminat. Namun begitu, karya yang dihantar akan melalui proses tapisan ketat bagi memastikan hanya lagu yang menepati standard kualiti dari segi rakaman audio, susunan muzik dan kekuatan persembahan akan diterima.
Bagi memeriahkan lagi carta tahun ini, beberapa kategori anugerah khas turut diperkenalkan termasuk Lagu Paling Popular, MTV Terbaik, Lirik Terbaik, Penyanyi Terbaik, Susunan Muzik Terbaik dan beberapa kategori lain. Semua kategori ini akan dinilai sepanjang tempoh penstriman, dan keputusan akan diumumkan dalam satu majlis anugerah khas.
FH Cinema kini mengorak langkah sebagai platform digital yang bukan sahaja menghimpunkan hiburan tempatan, malah menawarkan peluang penjanaan pendapatan kepada pencipta dan penggiat muzik melalui sistem tontonan berbayar yang lebih adil dan realistik. Platform ini boleh diakses oleh penonton dari seluruh Asia dan Eropah melalui rangkaian penstriman berprestasi tinggi.
Maklumat lanjut mengenai senarai lagu terpilih dan proses undian akan diumumkan secara rasmi melalui laman web dan saluran media sosial rasmi FH Cinema dalam masa terdekat.
Sebarang pertanyaan atau penyertaan, sila hubungi pihak pengurusan melalui emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

