
KOTA KINABALU, — Dunia muzik kini memasuki fasa baharu apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) mula digunakan secara meluas dalam proses penciptaan lagu. Namun bagi pengarah dan komposer berpengalaman, Freddy Harmthon, teknologi ini bukan ancaman kepada manusia, sebaliknya merupakan alat muzik generasi baharu yang membuka ruang kepada lebih banyak karya berkualiti dihasilkan.
“Ramai orang bila dengar tentang lagu AI, mereka fikir komputer yang cipta segalanya. Sebenarnya tidak. Dalam dunia muzik, kita memang tak pernah berkarya tanpa alat bantu. Kalau dulu kita guna keyboard atau gitar, sekarang AI cuma jadi alat yang lebih canggih,” katanya.
Freddy, yang telah lebih 20 tahun bergiat dalam industri muzik dan menghasilkan lebih 200 buah lagu, kini giat menerbitkan karya menggunakan teknologi AI melalui platform FH Cinema, milik syarikatnya, F Harmthon Production Sdn Bhd.
Setakat ini, beliau telah menerbitkan 35 buah lagu di bawah album digital Remix Dangdut Bahagia Vol. 1, menjadikannya antara penerbit muzik awal di Sabah yang memanfaatkan AI dalam proses kreatif.
Menurut penerima Anugerah Artis Baharu Paling Popular Dusun Kategori Lelaki oleh KDCA pada 2015 ini, walaupun penggunaan AI menjadikan proses lebih pantas dan efisien, asas penciptaan muzik masih datang daripada manusia.
“Saya sendiri tulis semua lirik, tentukan genre, tempo, mood dan gaya vokal. Saya bagi arahan (prompt) kepada AI, sama seperti bagi arahan kepada pemain muzik sebenar dalam studio. Bila hasil pertama tidak sesuai, saya ubah, dengar semula, dan perbaiki sampai puas hati.
“AI hanya bantu saya dengar idea dengan cepat — tapi keputusan akhir tetap datang daripada manusia,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa teknologi hanyalah alat bantu, bukan pengganti pencipta.
“Sebagai pencipta lagu, kita tidak akan mampu mencipta karya kalau tidak ada alat bantuan seperti yang diamalkan sebelum ini seperti keyboard ataupun gitar. Walaupun kadang-kadang kita buat alunan muzik hanya membunyikan mulut tapi pada akhirnya kita perlukan satu alat yang boleh membantu buatkan lagu itu menjadi sempurna. Sama lah juga dengan AI ni.
“Keyboard, gitar dan kini AI — semuanya alat muzik yang bantu manusia zahirkan idea dari hati. Jiwa muzik tetap datang dari manusia,” tambahnya.
Menyentuh tentang suara penyanyi daripada AI, pelantun lagu “Suni Tupusku” yang pernah digelar lagu berhantu pada 2014 ini, turut menjelaskan bahawa penggunaan suara AI kini menjadi satu kelebihan besar bagi syarikat rakaman seperti F Harmthon Production.
“Kalau dulu cabaran besar ialah mencari penyanyi yang benar-benar boleh dijual suaranya dan menanggung kos rakaman yang tinggi. Tapi dengan AI, kita boleh hasilkan suara penyanyi maya dengan kualiti studio profesional — tanpa perlu sesi rakaman panjang dan kos besar,” jelasnya.
Menurut beliau, selepas era CD berakhir dan penjualan album fizikal semakin merosot, banyak syarikat rakaman terpaksa menanggung kos tanpa pulangan.
“Industri rakaman di Sabah sebenarnya sudah lama tenat. Sejak YouTube dan platform media sosial mengambil alih peranan CD, artis yang mahu melabur duit untuk jadi penyanyi semakin berkurangan kerana tiada lagi pulangan. Ramai yang anggap mengeluarkan lagu hanya buang duit.”
Beliau turut menambah, persaingan yang tidak sihat turut menjadi punca industri tempatan perlahan.
“Ada pihak yang menurunkan harga penerbitan lagu ke tahap tidak masuk akal, menyebabkan syarikat rakaman berlesen penuh seperti kami tidak mampu bersaing dari segi kos. Tapi bila ada AI, keadaan berubah.”
Menurut Freddy, kehadiran teknologi AI telah menjadi penyelamat industri rakaman Sabah.
“AI bantu kami hasilkan produk yang jauh lebih baik dari sebelum ini, dengan susunan muzik dan mastering bertaraf antarabangsa, dalam masa yang cepat dan kos yang sangat rendah. Ini membolehkan kami kembali aktif menerbitkan karya dan menjualnya terus secara digital melalui FH Cinema,” ujarnya.
Beliau menyeru penggiat seni agar tidak takut dengan kemajuan teknologi, sebaliknya ambil peluang untuk berkembang semula.
“AI mampu tingkatkan produktiviti yang selama ini sudah lama padam. Ia bukan ancaman — tapi peluang besar untuk hidupkan semula semangat berkarya di Sabah,” katanya.
Bila ditanya mengenai kesan terhadap artis dan penyanyi tempatan, Freddy turut mengakui bahawa penggunaan AI secara meluas dalam industri muzik boleh memberi kesan langsung kepada artis dan penyanyi sebenar.
“Memang benar, apabila banyak penerbit mula menggunakan suara AI, penyanyi berbakat mungkin kehilangan peluang dan sukar mencari makan. Tapi saya percaya masih ada ruang untuk manusia dan teknologi bergerak seiring,” ujarnya.
Menurutnya, suara manusia tetap mempunyai keistimewaan yang tidak dapat ditiru sepenuhnya oleh mesin — seperti kejujuran emosi, ‘feel’ semula jadi dan daya persembahan pentas.
“Oleh itu, pendekatan terbaik ialah gabungan — AI digunakan untuk susunan dan idea awal, tapi penyanyi sebenar masih diperlukan untuk rakaman akhir jika mahu hasil yang lebih hidup dan bernyawa,” katanya.
Freddy turut menjelaskan bahawa platform AI yang ada masih mempunyai batasan yang mana, belum boleh susun muzik mengikut melodi asal yang manusia cipta.
“Ia hanya boleh buat melodi baharu berdasarkan arahan yang kita beri. Jadi kalau kita sudah ada melodi sendiri dari keyboard, tetap kena guna kaedah rakaman biasa di studio bersama penyanyi sebenar,” katanya.
Namun Freddy yakin perkara itu akan terjadi mengikut peredaran masa dan ketika ini adalah peluang untuk memulakannya supaya tidak ketinggalan dalam era arus pembangunan digital.
Freddy yang juga pengasas platform digital pemasaran filem dan muzik bertaraf Asia, FH Cinema, menegaskan bahawa penggunaan teknologi baharu amat penting bagi memastikan industri muzik tempatan terus berkembang.
“Kita manusia tidak akan sentiasa ada idea baharu. Kadang-kadang, kehabisan ilham itu yang melemahkan industri. Tapi dengan bantuan AI, kita boleh hidupkan semula kreativiti — cipta susunan muzik yang lebih moden dan setaraf luar negara,” jelasnya.
Beliau menambah, susunan dan mastering muzik melalui teknologi AI bukan sahaja menjadikan karya lebih menarik, malah mampu menaikkan nilai seni dan pasaran muzik tempatan ke tahap global.
“Kalau kita hasilkan lagu dalam bahasa ibunda — seperti Dusun, Kadazan, Murut, Bajau, atau Rungus — dengan susunan moden dan kualiti tinggi, bahasa kita sendiri boleh dikenali serata dunia. Sama seperti lagu-lagu Korea atau Thailand, walaupun kita tak faham bahasanya, kita tetap suka kerana muziknya menarik,” katanya.
Freddy percaya bahawa seni dan teknologi tidak boleh dipisahkan.
“AI bukan mematikan seni, malah menghidupkannya semula. Ia membuka peluang baharu kepada pencipta muda, komposer tempatan dan penggiat industri kreatif untuk terus menghasilkan karya tanpa batasan,” katanya.
Beliau juga berharap agar masyarakat tidak melihat teknologi AI sebagai musuh, tetapi sebagai alat bantu yang mempercepatkan kemajuan industri seni di Malaysia, khususnya di Sabah.
“Teknologi berubah, tapi jiwa muzik tetap sama. AI bukan menggantikan manusia, tapi memperluaskan cara manusia berkarya,” katanya menutup kenyataan.

