
Industri perfileman Sabah kehilangan seorang tokoh penting apabila pengarah filem tempatan, Tony Francis Gitom, telah meninggal dunia pada 18 Disember 2025, ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni kreatif negeri ini, khususnya dalam bidang perfileman tempatan yang beliau perjuangkan sejak sekian lama.
Mendiang mula dikenali secara lebih meluas menerusi karya Cinta Antara Benua, yang menjadi antara naskhah terpenting dalam perjalanan kerjaya beliau sebagai pengarah dan secara langsung telah melonjakkan nama beliau dalam industri perfileman tempatan.
Sebagai rekod, mendiang merupakan antara pengarah filem tempatan Sabah yang konsisten berkarya dan aktif menghasilkan pelbagai filem serta drama tempatan dengan pendekatan penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat serta latar budaya negeri ini. Komitmen dan ketekunan beliau dalam dunia seni menjadikan mendiang antara pengarah yang tidak pernah berhenti berkarya walaupun berdepan kekangan industri.
Filem terakhir arahan mendiang ialah “Bila Aku Mati”, yang sedang diusahakan sebelum pemergian beliau. Pemergian mendiang dimaklumkan oleh rakan rapat merangkap pengurus produksi projek berkenaan, Evelyn Mercado.
Karya terakhir tersebut mencerminkan dedikasi mendiang yang terus berkarya sehingga ke akhir hayat dan dianggap sebagai antara sumbangan penting beliau kepada industri filem tempatan.
Mendiang dikenali dalam kalangan rakan industri sebagai seorang pengarah yang berdedikasi, berdisiplin serta komited dalam memperjuangkan kewujudan dan kelangsungan industri perfileman Sabah.
Penghormatan terakhir kepada mendiang akan diadakan di AGUT Jubili Lighthouse, Penampang.
Seluruh warga industri kreatif Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang, rakan-rakan serta semua pihak yang pernah bekerjasama dengan beliau sepanjang perjalanan seninya.

