
Putatan — Nama Clifford Spancer mungkin tidak asing lagi dalam kalangan penonton setia drama tempatan, khususnya karya terbitan RTM. Walaupun kerjayanya sebagai pelakon bergerak seiring dengan komitmen kerja hakiki, Clifford terus berdiri sebagai wajah yang konsisten dalam industri kreatif Sabah — dengan semangat yang tidak pernah pudar.
Mengimbas kembali perjalanan sepanjang 2025, Clifford mengakui tahun tersebut sedikit mencabar dari segi penglibatan dalam penggambaran. Kekangan masa kerja tetap menghadkan ruang untuk memberi komitmen penuh di set, namun ia tidak sesekali mematahkan tekadnya untuk terus aktif di layar.
“Cabaran utama saya adalah masa. Kadang-kadang terpaksa kejar jadual penggambaran selepas kerja, sampai perlu sewa kereta untuk ke set. Tapi syukur, semuanya selesai dengan baik dan memuaskan hati pengarah,” kongsinya.
Antara karya yang menjadi kebanggaan beliau termasuk filem pendek Room 004 arahan Ryot A. Ujin serta telemovie Anak Negara Bangsa arahan Dato TS Jefrey yang disiarkan di RTM. Clifford juga pernah terlibat dalam drama bersiri Mrs VIP, telemovie Kusai arahan Ramli Ahmad, selain beberapa projek lain yang bakal menyusul.
Baginya, watak bukan sekadar peranan — tetapi medium penyampaian mesej dan nilai kepada penonton.
“Penceritaan watak itu sendiri adalah mesej utama yang hendak disampaikan,” ujar Clifford, yang melihat perkembangan industri seni Sabah kini semakin matang dan berperanan penting dalam memacu ekonomi kreatif tempatan.
Memasuki tahun baharu, Clifford memilih untuk tidak terburu-buru mengejar projek besar. Sebaliknya, beliau membuka ruang untuk terus belajar, memperbaiki kualiti lakonan dan mencuba karakter berbeza daripada kebiasaan.
“Impian saya tidak terlalu besar — cukup sekadar dapat terus mewarnai industri kreatif dengan lakonan yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya dengan rendah hati.
Walaupun belum berdepan cabaran ekstrem, Clifford jujur mengakui kelemahan terbesar yang pernah dialaminya ialah ketika berhadapan dengan penghayatan skrip dan adaptasi watak. Namun bagi beliau, setiap kekurangan adalah ruang pembelajaran.
Untuk mengekalkan identiti sebagai pelakon, Clifford sentiasa mengikuti perkembangan industri sambil mempelbagaikan pendekatan dalam setiap karakter yang dijayakan.
Dalam pesannya kepada peminat, Clifford menyeru masyarakat terus memberi sokongan terhadap karya seni tempatan.
“Saya berharap semua yang mengenali saya dan masyarakat di luar sana bersama-sama menyokong industri kreatif tempatan supaya dapat berkembang lebih pesat dan terus maju ke puncak yang lebih tinggi.
"Buat bakat muda yang ingin menapak di dunia seni, carilah peluang, kembangkan bakat anda, dan terus aktif. Jangan takut mencuba," ujarnya.
Dengan dedikasi, disiplin dan semangat yang tidak pernah putus, Clifford Spancer terus membuktikan bahawa minat dalam seni bukan sekadar karier — tetapi sebuah perjalanan jiwa yang penuh nilai dan pengorbanan.
Jika anda suka kandungan seperti ini dan ingin menyokong pembangunan seni & dokumentasi kreatif Sabah, anda boleh menyumbang secara ikhlas bermula RM1.
Sokong Melalui WhatsApp
