
Dalam dunia lakonan, bukan semua pelakon mengejar glamor, populariti atau sorotan pentas utama. Ada yang terus bertahan kerana satu perkara — cinta terhadap momen di balik kamera. Itulah pegangan pelakon filem dan drama asal Sabah, Johnny Damianus, yang tetap setia pada dunia lakonan walaupun sudah lebih 16 tahun berada dalam industri.
Bagi Johnny, setiap projek, setiap set penggambaran, dan setiap watak yang diberi peluang untuk dihidupkannya — adalah pengalaman yang tidak ternilai. Tahun 2025 pula hadir sebagai tahun yang penuh makna, apabila beliau menerima lebih banyak ruang dan kepercayaan untuk terus berkarya dalam pelbagai produksi filem, drama dan karya kreatif tempatan.
Menurutnya, perkembangan kerjaya seninya sepanjang tahun lalu amat memberangsangkan apabila beliau diberi peluang untuk terlibat dalam beberapa produksi filem dan drama daripada sahabat-sahabat produksi di Sabah. Antara yang paling signifikan ialah pembabitannya dalam drama khas Merdeka berjudul “Paduka” terbitan RTM1, sebuah drama sempena Hari Bapa yang dijadualkan tayang pada tahun 2026, serta drama radio bertajuk “Kembali Untuk Pergi Selamanya.”
Beliau turut terlibat dalam dua buah filem iaitu “Paragasu” dan “Talak,” selain menyertai pertandingan lakonan SST yang menjadi satu lagi pengalaman berharga dalam perjalanan seninya. Namun, di sebalik jadual seni yang aktif, Johnny turut diuji apabila terpaksa menarik diri daripada sebuah pementasan teater pada saat akhir ekoran masalah kesihatan ahli keluarga.
“Itu memang agak menyedihkan, tetapi keluarga tetap keutamaan,” katanya.
Walaupun sudah lebih sedekad setengah berada dalam industri, Johnny mengakui bahawa setiap sesi penggambaran masih memberi makna besar dalam hidupnya sebagai pelakon.
“Bagi saya, setiap kali shooting itulah momen paling bermakna. Walaupun sudah lama dalam industri, setiap set tetap rasa berharga,” katanya.
Malah, beliau mengakui ada ketika soal bayaran bukanlah keutamaan mutlak.
“Kadang-kadang soal bayaran boleh dibincang. Apa yang saya mahu adalah pengalaman itu — momen berada di set penggambaran,” ujarnya jujur.

Namun sebagai pelakon di Sabah, realiti industri menuntut pengorbanan. Beliau berkata kebanyakan pelakon perlu mempunyai kerjaya lain bagi menampung komitmen hidup.
“Di Sabah, kerjaya lakonan belum boleh dijadikan 100% kerja hakiki. Jadi kami pelakon terpaksa ada kerja lain. Sebab itu saya lebih banyak ambil watak sampingan supaya tidak mengganggu produksi dan kerja utama saya,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai karya paling membanggakan, Johnny berkata beliau bangga dengan semua projek yang pernah disertainya, besar atau kecil. Namun, jika diberi pilihan, beliau memilih filem “Sinakagon” sebagai karya paling istimewa di hatinya.
“Saya bangga dengan filem Sinakagon kerana ia membawa bahasa ibunda dan adat budaya saya ke pawagam — malah ke mata dunia melalui Netflix,” katanya.
Bagi Johnny, seni membawa makna lebih besar daripada sekadar lakonan di layar.
“Seni itu indah, menyatukan, merapatkan yang jauh, mengajar kita untuk tidak berputus asa dan membawa budaya toleransi orang Sabah ke mata dunia,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau melihat perkembangan industri kreatif Sabah kini menunjukkan perubahan positif, khususnya dengan bertambahnya ruang tayangan untuk karya tempatan.
“Penubuhan 10 Star Cinema sangat membantu anak seni Sabah. Usaha seperti ini penting supaya kita tidak hanya bergantung kepada dana semata-mata,” katanya.
Melangkah ke tahun 2026, Johnny berhasrat untuk terus memperbaiki kemahiran lakonannya, menghasilkan skrip yang lebih dekat di hati masyarakat serta mencari peluang untuk mencuba watak-watak yang belum pernah dibawanya sebelum ini.
Beliau juga menyimpan impian untuk suatu hari nanti menerima pengiktirafan dalam dunia lakonan — serta beralih ke bidang pengarahan selepas bersara daripada kerjaya tetap.
Buat peminat dan masyarakat, beliau menyeru agar terus menyokong karya tempatan, khususnya filem Sabah.
“Mari sama-sama majukan seni Sabah. Sokong filem tempatan — datang ke pawagam. Filem negara luar nampak hebat kerana rakyat mereka menyokong. Kita pun boleh jadi begitu,” katanya.

Berkongsi pengalaman paling mencabar di set penggambaran, Johnny berkata situasi paling berat bagi seorang pelakon ialah apabila gagal menghidupkan watak yang diberikan.
“Cabaran paling besar ialah bila kita tidak dapat deliver watak — tidak benar-benar make it believable dari segi riak wajah, suara dan gerak badan,” jelasnya.
Namun, dalam apa jua keadaan, beliau menegaskan pelakon perlu sentiasa rendah diri.
“Jangan rasa diri hebat walaupun sudah berlakon banyak filem. Semua orang boleh berlakon, tetapi untuk memberi roh pada watak — itu bukan perkara senang. Terus belajar, ikut bengkel, dan hormat kru produksi,” pesannya.
Bagi Johnny Damianus, dunia lakonan bukan sekadar kerjaya — tetapi perjalanan hidup yang dipenuhi pengalaman, nilai kemanusiaan dan rasa cinta terhadap seni. Dan selagi pintu peluang masih terbuka, selagi itulah beliau akan terus berdiri di hadapan kamera, mengejar momen yang tidak pernah hilang maknanya.
