SuDOSH 2026 Melabuh Tirai

Image
KOTA KINABALU — Temasya Sukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia 2026 (SuDOSH 2026) telah melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang selepas berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 7 Februari 2026 di sini. Penganjuran kali ini menyaksikan JKKP Sabah bertindak sebagai tuan rumah, dengan penyertaan kira-kira 713 peserta daripada pelbagai negeri di seluruh negara.
 
Majlis pembukaan rasmi telah diadakan pada 5 Februari 2026 di Stadium Likas, diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan sebagai simbol ucapan selamat datang kepada semua kontinjen yang bertandang ke Negeri Di Bawah Bayu. Suasana pembukaan bertambah meriah apabila Ketua Pengarah JKKP Malaysia, Ir. Hj. Mohd Hatta bin Zakaria, turut menyempurnakan sepakan pembukaan sebagai tanda simbolik perasmian acara bola sepak SuDOSH 2026 pada malam berkenaan.
 
Image
Majlis penutupan SuDOSH 2026 pula berlangsung pada malam hari Sabtu, 7 Februari 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC). Acara penutup diraikan menerusi majlis makan malam rasmi, penyampaian hadiah kepada pemenang setiap kategori serta persembahan tarian kebudayaan yang mencerminkan keunikan dan kekayaan warisan budaya Sabah, sekali gus mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga JKKP.

Kedua-dua majlis pembukaan dan penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JKKP Malaysia. Dalam ucapan perasmian penutupnya, beliau menzahirkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran SuDOSH 2026 serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya 713 peserta daripada 16 kontinjen yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjayakan temasya sukan ini.
Image
Beliau turut menyifatkan penganjuran SuDOSH 2026 di Sabah sebagai satu mercu tanda bersejarah, memandangkan ia merupakan kali pertama temasya sukan warga JKKP dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia. Pemilihan Sabah sebagai tuan rumah bukan sekadar giliran, malah satu pengiktirafan terhadap keupayaan warga JKKP di wilayah ini yang berjaya menganjurkan kejohanan berskala nasional dengan tersusun dan profesional.
 
Sepanjang temasya berlangsung, para peserta telah bersaing dalam 10 acara sukan yang dipertandingkan, antaranya Bola Sepak, Badminton, Bola Tampar, Bola Jaring, Ping Pong, Golf, Pool, Tenpin Boling dan dua sukan E-Games. Selain persaingan sihat di padang dan gelanggang, SuDOSH 2026 turut menjadi platform penting untuk memupuk nilai integriti, disiplin, kesukanan serta semangat kerja berpasukan, selari dengan budaya kerja warga JKKP sebagai penjawat awam.
 
Suasana kejohanan turut dimeriahkan dengan pertemuan semula rakan-rakan sejawatan yang kini berkhidmat di negeri berbeza, menjadikan SuDOSH sebagai medan mengukuhkan ukhuwah, mempererat hubungan kekeluargaan dan memperkasa semangat kebersamaan dalam kalangan warga jabatan. 
Image
Untuk rekod, SuDOSH merupakan program sukan dwitahunan anjuran Persatuan Kebajikan Sukan JKKP Malaysia, dengan penganjuran tuan rumah secara bergilir antara negeri. Dengan berakhirnya SuDOSH 2026 di Kota Kinabalu, baton penganjuran seterusnya akan diteruskan oleh JKKP Pahang sebagai tuan rumah bagi SuDOSH 2028.

Dalam kejohanan kali ini, kontinjen JKKP Putrajaya muncul sebagai juara keseluruhan SuDOSH 2026, sekali gus mengekalkan penguasaan mereka dalam temasya sukan warga JKKP.
 
Image
 
Penutupan SuDOSH 2026 bukan sekadar menandakan berakhirnya sebuah kejohanan sukan, malah meninggalkan kenangan manis dan nilai kebersamaan yang mendalam buat seluruh warga JKKP — satu manifestasi perpaduan nasional yang terus menyemarakkan semangat kekitaan dalam memperkukuh keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.
Image

Ketua Pengarah JKKP Malaysia menyumpit belon menandakan tirai baharu SuDOSH 2026 bermula di Pahang

Image

Saksikan filem pendek Sang Pangkalewu di sini:

Image

Contact Info

No. 517 Lorong Pasir Putih 8A,
Taman Pasir Putih,
88200 Putatan Sabah.

Copyright © 2026 F Harmthon Production Sdn Bhd (1329111-D).

Register Form

Cancel

Sign in to your account

Register Form

Cancel

Sign in to your account