Editor 19 September 2026

Freddy Harmthon Pertaruh Album Keempat

Freddy Harmthon Pertaruh Album Keempat

KOTA KINABALU: Pernah mencuri perhatian peminat muzik tempatan menerusi lagu “Suni Tupusku” sekitar tahun 2010, penyanyi dan pencipta lagu Sabah, Freddy Harmthon, kini kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi album “Freddy Harmthon Vol. 4”.

Perjalanan seninya turut menyaksikan beliau menerima Anugerah Artis Popular Baharu Dusun kategori lelaki pada 2014 oleh KDCA, selain meraih tempat ketiga Bontugan Sinding Dusun 2014 anjuran RTM menerusi Siaran Bahasa Dusun.

Selepas tiga album terdahulu, Freddy kini mempertaruhkan album keempat yang menampilkan 11 buah lagu dengan susunan muzik lebih segar dan bertenaga.

Antara lagu yang dimuatkan ialah “Rusida”, “Rindu Ku Di Adonara”, “Aiso Tusin Ku”, “Gagal Dalam Cinta”, “Kau Gores Hatiku”, “Notongos” dan “Solot Ginawo Ku”.

Album berkenaan tampil dengan kepelbagaian warna muzik termasuk disco remix dangdut, dangdut koplo, Sumazau, jazz, joget dan balada, sekali gus memberi pengalaman berbeza dari satu lagu ke satu lagu.

Menariknya, kesemua lagu dalam Freddy Harmthon Vol. 4 merupakan hasil ciptaan Freddy sendiri. Beliau bukan sahaja bertindak sebagai penyanyi dan pencipta lagu, malah menjadi tulang belakang dalam proses penerbitan album berkenaan dengan mengendalikan sendiri proses pembikinan muzik dari peringkat awal sehingga hasil akhir.

Menurut Freddy, penghasilan album keempat itu turut menjadi satu pencapaian peribadi kerana beliau mahu tampil dengan kualiti dan pendekatan muzik yang berbeza berbanding karya-karyanya sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana hasrat untuk menerbitkan album keempat akhirnya dapat direalisasikan. Kali ini saya cuba memberikan sesuatu yang lebih segar dari segi susunan dan kualiti muzik. Saya berharap lagu-lagu dalam album ini dapat menghiburkan peminat muzik Sabah dan mendapat sokongan daripada pendengar,” katanya.

Berbeza dengan pendekatan penerbitan album konvensional, Freddy Harmthon Vol. 4 dipasarkan dalam bentuk digital menerusi FH Cinema, platform digital yang turut menjadi saluran pemasaran filem dan muzik terbitan tempatan.

Album penuh tersebut boleh diakses dengan harga RM10, membolehkan peminat menikmati kesemua 11 lagu dalam satu penerbitan.

Dalam perkembangan lain, Freddy yang kini turut aktif dalam penerbitan filem berasaskan teknologi AI berkata beliau masih meneruskan aktiviti dalam bidang muzik dan membuka peluang kepada individu atau kumpulan yang berminat untuk menghasilkan rakaman lagu, sama ada dalam bentuk single mahupun projek berkumpulan.

Bagi Freddy, penerbitan album keempat ini bukan sekadar menambah koleksi karya, tetapi meneruskan perjalanan seninya yang bermula lebih sedekad lalu — kini dengan pendekatan penerbitan yang lebih berdikari dan berorientasikan digital.