
Setelah hampir satu tahun beroperasi, platform digital pemasaran filem dan muzik FH Cinema bakal menghentikan operasi.
Menurut Freddy Harmthon, Pengasas syarikat F Harmthon Production Sdn Bhd yang juga pengendali laman web ini mengakui menghadapi kesukaran untuk mempromosi laman web ini atas sebab kekangan kewangan.
“Saya telah menghabiskan ratusan ribu tanpa mendapat dana daripada kerajaan untuk membuat sebuah platform digital, yang mampu membantu penggiat filem dan muzik untuk memasarkan karya masing-masing melalui sistem digital namun sayangnya, tidak ada yang mengambil peluang untuk memasarkan produk mereka, kecuali Marc Abas, Tony Francis Gitom, dan seorang pemain filem indie dari Sabah Felix Able serta beberapa penerbit filem indie dari Semenanjung. Selain daripada itu, kebanyakan filem adalah filem pendek yang telah menyertai pertandingan filem pendek baru-baru ini.
“Sambutan penonton juga sangat kurang memberangsangkan kerana tidak ada satupun filem yang mencapai pungutan sehingga 1000 tiket,”katanya.
Tambahnya lagi, beliau yang kini sedang merancang untuk menambahbaik laman web ini termasuk membuat aplikasi telefon pintar untuk memudahkan pengguna dan penerbit, turut mengakui akan berfikir dua kali jika laman web itu masih tidak mendapat sambutan.
“Saya buat laman web ini bukan untuk keuntungan semata-mata tapi untuk membantu penggiat seni, dan sekali gus menjana pendapatan penerbit serta menjana peluang pekerjaan dalam bidang perfileman dan muzik, namun jika keadaan ini berterusan, saya tidak sanggup untuk terus mengendalikan laman web ini lagi.
“Tidak ada keperluan untuk saya memperbaharui lesen yang menelan belanja puluhan ribu jika tidak ada yang perlukan platform ini.
“Sayang sekali, selama ini tidak ada yang peduli dengan seni kreatif di Sabah. Kita kekurangan platform untuk memasarkan produk. Kita ada stesen TV, dan panggung wayang tapi hanya yang berkelayakan sahaja yang mampu memasarkan produk di dua platform itu.
“Ramai penggiat seni mengeluh kerana tidak mendapat peluang untuk memasarkan produk, itu sebab saya cuba berinovasi untuk membantu. Kalau bukan orang kita yang membantu siapa lagi yang kita akan harapkan untuk membantu.
“Saya melihat laman web FH Cinema sangat sesuai untuk memasarkan produk filem tempatan namun apa yang berlaku, tidak ada sambutan yang memberangsangkan bukan saja daripada penerbit malahan gagal mendapat sokongan daripada warga Sabahan.
“FH Cinema ini sama seperti Netflix iaitu boleh menonton filem di mana-mana dan pada bila-bila masa, namun cara pengendaliannya berbeza iaitu tidak ada komitmen bulanan. Hanya filem yang ditonton sahaja yang perlu kita bayar, iaitu antara RM3 hingga RM10 mengikut kualiti produk.
“Lesen untuk pengendalian laman web ini akan tamat pada 18 Mei 2024 dan memerlukan dana yang besar untuk pembaharuan lesen.
“Jadi saya sangat berharap, dalam masa-masa yang ada ini warga Sabahan dapat membantu kami untuk memperolehi dana melalui langganan filem yang ada di dalam laman web ini,” akhirinya.
Filem terbaharu yang baharu sahaja ditayangkan hari ini adalah filem Silence Of The 177, dan AVAKAS serta The Photographer arahan Marc Abas, Tangisan Sebelum Raya dan Motif Killer arahan Raja Alif, Atukoi Mokirayou 1 dan 2 arahan Tony Francis Gitom, dan Watu Turu Papakang terbitan Persatuan Nunuk Ragang, serta 90 buah filem pendek.





