
Selepas tular kenyataan pihak FH Cinema yang bakal menuntup operasinya, Penerbit dan Pengarah terkenal Marc Abas menyatakan kekesalannya di platform X atas hasrat syarikat tersebut untuk menutup operasi platform digital yang satu-satunya di Malaysia, yang jelas merugikan semua pihak.
Ciapnya, berapa mahal dan hebat pun filem Sabah, pulangan tetap tidak ada kerana kebanyakan terbiasa dengan benda percuma.
“Kalau free, diorang tengok lah. Paling-paling pun dapat komen mantap, terbaik, hebat dan tanda suka.
“Sepatutnya kita perlu menyokong usaha penggiat filem Sabah kerana kalau bukan kita yang menyokong, siapa lagi.
“Selama 14 tahun saya berkecimpung dalam dunia perfileman di Sabah, itu lah yang saya nampak. Cuma kawan-kawan rapat dan masyarakat yang faham saja yang sanggup keluarkan duit untuk menonton filem kita.
“Ada beberapa Penerbit yang terpaksa merayu kepada ahli politik untuk membayar panggung supaya orang datang menonton secara percuma. Sampai macam ini orang kita.
“Saya tidak salahkan mana-mana pihak, dan saya pertahankan filem-filem Sabah masa kini yang mana semuanya hebat, cuma apa yang kita harapkan adalah cara pemikiran rakyat Sabah yang perlu diubah.
“Biarpun filem tersebut hebat, dan banyak dana yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) termasuk duit yang kami labur, ia tidak ada ertinya sama sekali jika semua penonton hanya mahu menonton secara percuma,” katanya.
Marc yang baharu sahaja memasarkan filemnya bertajuk “Silence Of The 177” di Platform Digital FH Cinema turut mengakui jika keadaan ini berlarutan, beliau berkemungkinan turut menggantung kamera dan menceburi bidang lain.
Terdahulu dalam satu artikel di FH Cinema, beliau berharap agar filem “Silence Of The 177” mendapat sambutan yang memberangsangkan agar dapat menerbitkan filem lain dan mencipta peluang pekerjaan ramai warga Sabahan dalam bidang seni lakon.
Di samping itu, beliau turut mengakui akan membuat siri jelajah mencari bakat-bakat baharu dalam bidang lakonan di seluruh Sabah sekiranya filem tersebut laris dijual di FH Cinema.
Sebagai rekod pihak FH Cinema bakal menutup operasi pada pertengahan Mei ini kerana tidak mendapat sambutan daripada Penerbit dan Penonton.
pautan artikel di sini: https://fhcinema.com.my/news/170-fh-cinema-bakal-menghentikan-operasi
Sebagai rekod pihak FH Cinema bakal menutup operasi pada pertengahan Mei ini kerana tidak mendapat sambutan daripada Penerbit dan Penonton.
pautan artikel di sini: https://fhcinema.com.my/news/170-fh-cinema-bakal-menghentikan-operasi

