
Sejurus selepas pengumuman Platform Digital pemasaran filem dan muzik yang satu-satunya beroperasi di Malaysia FH Cinema, mengumumkan akan menghentikan operasinya atas sebab tidak ada sambutan daripada Penerbit dan penonton, ramai warga net termasuk pelakon Sabah melahirkan rasa ianya satu kerugian bagi industri kerana sehingga kini belum ada platform yang benar-benar dapat membantu pengkarya memasarkan produk yang strategik melalui sistem digital. Dan jika operasi platform ini dihentikan maka terkuburlah harapan para penggiat filem untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
Sepanjang satu tahun, hanya ada sembilan filem penuh yang dipasarkan di platform ini dan 90 filem pendek yang bertanding dalam carta filem pendek.
Apa yang menyebabkan pihak pengendali laman web bercadang untuk menutup platform ini adalah kerana filem yang dipasarkan di platform ini tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan dan tidak dapat menyerap kos pengendalian bulanan.
Namun setelah berita tersebut tersebar, platform ini mula dibanjiri oleh penggemar filem Sabahan dengan membeli tiket menonton filem seperti Avakas, Silence Of The 177, Atukoi Mokirayou dan Tangisan Sebelum Raya.
Menurut pengedali FH Cinema Freddy Harmthon (FH) ketika dihubungi setelah FH Cinema menunjukkan tanda-tanda positif, beliau mengakui cukup gembira dan mendapat suntikan semangat baharu kerana akhirnya ramai yang semakin faham fungsi FH Cinema.
“Syukur dan terima kasih atas sokongan semua. Tanpa sokongan anda semua, saya tidak mampu meneruskan misi membantu penggiat seni untuk memasarkan produk, dan mencipta peluang pekerjaan yang luas dalam bidang ini.
“Jika kita lihat, sebenarnya dalam bidang muzik dan filem, ia bersangkut paut dengan industri lain seperti industri pelancongan. Filem dan muzik memerlukan lokasi untuk penggambaran dan lokasi pelancongan atau lokasi menarik yang digunakan dalam penggambaran. Penggunaan lokasi tersebut sekali gus dapat dipromosi dan membolehkan ramai orang tahu, serta berkunjung di tempat tersebut.
“keadaan ini akan membolehkan pengusaha tempat tersebut menjana pendapatan dan turut mencipta peluang pekerjaan dalam industri pelancongan,” katanya.
FH turut menyeru kepada semua warga Sabah agar terus membantunya untuk berkongsi pautan filem yang ada di FH Cinema termasuk menonton, sebagai tanda sokongan terhadap karya Sabahan.
“Tidak ada yang boleh membantu kita selain daripada kita sendiri bantu bangsa kita sendiri. Kita harus bersatu dan hindari hasad dengki dengan sesama kita kerana ia akan merugikan bukan hanya diri sendiri tetapi komuniti kita,” tambahnya.
Melihat akan sambutan tontonan yang menggalakkan dalam dua hari ini, FH turut memberitahu bahawa beliau akan membatalkan hasrat untuk menutup operasi platform tersebut dan akan memperbaharui lesen laman webnya yang menelan belanja hampir RM100 ribu.
“Saya akan cuba satu tahun lagi. Dan saya sangat berharap ada peningkatan dari segi tontonan dan kepercayaan penerbit untuk memasarkan produk di FH Cinema.
“Jangan lepaskan peluang ini kerana inilah satu-satunya kaedah terbaik untuk menjana pendapatan dalam bidang perfileman dan muzik.
“Sesiapa yang ingin memasarkan produk, boleh berhubung terus dengan saya di 019 -300 9618 dan kita bincang bagaimana untuk membuat pemasaran di FH Cinema.
“Bantu saya dan saya akan bantu anda semaksima mungkin,”akhirinya.
Sebagai rekod, FH Cinema adalah platform digital pemasaran filem dan muzik Asia, yang satu-satunya di Malaysia dan dimiliki oleh anak tempatan Sabah. Mulai beroperasi pada 18 Mei 2023 dan menyediakan ruangan untuk pemasaran filem dan muzik secara digital, ruangan pemasaran video pembelajaran, dan siaran langsung.
Produk filem dan muzik yang dipasarkan di FH Cinema boleh dilanggan dengan harga RM3, RM5, RM7 dan RM10, serta penonton tidak ada komitmen bayaran bulanan.





