
Seorang penduduk Kampung Rugading Tanaki, Tambunan, yang dikenali sebagai Casmir, mendapat perhatian daripada aktivis masyarakat Adrian Edy setelah rumahnya terbakar baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikongsikan oleh Adrian di media sosial X, beliau memaklumkan bahawa walaupun Casmir dan keluarganya sempat menyelamatkan diri, semua harta benda mereka musnah dalam kebakaran tersebut.
"Dalam hanya 10 minit, bahagian atas rumah sudah terbakar habis," jelas Adrian.
Syukur, Adrian bersama pasukan sukarelawan telah melawat dan memberi sumbangan kepada keluarga Casmir yang kini tinggal sementara di rumah sebelah yang juga milik mereka. Casmir dan isterinya, yang bekerja sebagai petani, mempunyai tujuh orang anak, beberapa daripadanya masih bersekolah rendah dan menengah.
Menurut Adrian, ketika kebakaran berlaku, isteri Casmir sedang memasak di bahagian bawah rumah, sementara api marak dengan cepat di bahagian atas, menyebabkan keluarga mangsa tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda.
"Syukur, semua selamat. Semoga Uncle Casmir dan keluarga terus kuat dalam menghadapi dugaan ini," katanya.
Dalam kenyataannya, Adrian turut memaklumkan bahawa ramai penduduk kampung serta sukarelawan telah membantu dengan membawa pakaian dan makanan kepada keluarga Casmir selepas kejadian.
Sedutan Album Digital Muzik TV FH Idol 2. Langgan sekarang:
"Semoga segala urusan dipermudahkan untuk mereka," katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang dan mendoakan keluarga tersebut.
Adrian menggalakkan sumbangan berterusan untuk misi bantuan seterusnya, dengan menyatakan, "Hanya Tuhan yang mampu membalas kebaikan anda semua,"ciapnya.
Sebagai Rekod:
Adrian Edy, seorang aktivis kebajikan dari Sabah, aktif dalam pelbagai kerja amal, termasuk membaiki infrastruktur asas seperti jambatan dan menyediakan bantuan kepada komuniti yang memerlukan. Beliau sering melibatkan pasukan sukarelawan dalam melaksanakan inisiatif seperti program foodbank dan membaiki jambatan usang untuk memudahkan akses penduduk kampung ke sekolah dan kawasan lain. Kerja-kerjanya mendapat pengiktirafan daripada komuniti tempatan dan media atas impak positif yang diberikan kepada masyarakat.


