
Bermula daripada menyertai program realiti terbitan syarikat penerbitan dan pengedaran filem serta muzik, F Harmthon Production Sdn Bhd, FH Idol Musim Kedua, kini Tons Patons, atau nama sebenar Liuston G, telah bergelar seorang penyanyi.
Dalam satu segmen temubual bersama artis Jom Kita Snap (JKS), Tons, yang berasal dari Kg. Malanggang Baru, Kiulu, menyatakan rasa syukur dan terima kasihnya kepada pihak produksi kerana memberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar dalam industri seni hiburan tempatan Sabah.
Tons merupakan salah seorang peserta FH Idol Musim Kedua yang berjaya mara ke peringkat akhir di Palm Square, Centre Point Kota Kinabalu, pada 18 Februari 2023, setelah menerima sokongan padu daripada pengundinya. Namun, di saat akhir, beliau menghadapi masalah yang tidak dapat dielakkan, menyebabkan beliau tidak dapat membuat persembahan di peringkat akhir.
Dalam temubual yang dihoskan oleh penyanyi Cindy MCR, Tons berkongsi cabaran yang dihadapinya sepanjang program tersebut, termasuk kesukaran menghafal lagu, menyesuaikan jadual, dan menghadiri sesi program.
“Program ini bukan sekali dua tetapi banyak kali. Ada kalanya kami merakam persembahan dan ada kalanya kami hadir ke studio untuk membuat persembahan di hadapan juri profesional.
“Waktu itu, saya bekerja dan terpaksa tebal muka untuk meminta cuti. Tapi syukur, ketua saya pada ketika itu sangat memahami dan membenarkan saya bercuti,” katanya.
Sejurus selepas program, semua peserta akhir diberikan sebuah lagu untuk dirakam, termasuk Tons, yang diberi peluang menyanyikan sebuah lagu dangdut bertajuk Kaus Owiton Ku Matai atau Kesedihan Ku Bawa Seumur Hidupku.
“Lagu ini ditulis oleh pengarah syarikat sendiri, Freddy Harmthon (FH). Ia mengisahkan penantian seorang lelaki terhadap kekasihnya yang telah meninggalkannya nun jauh di seberang kerana perselisihan faham yang tidak diketahui punca sebenarnya. Lelaki itu menunggu kekasihnya sekian lama sehingga sepuluh tahun berlalu, namun dia diberitakan bahawa kekasihnya itu telah pun berkahwin. Setelah itu, si lelaki tidak mampu menahan kesedihan dan membawa kesedihan itu seumur hidupnya,” jelasnya lagi.
Ketika ditanya tentang penggambaran klip video lagu tersebut, Tons memaklumkan bahawa beliau terpaksa melakonkan semua gaya dan persembahan sendiri kerana ketiadaan model atau pelakon tambahan.
“Penggambaran Muzik TV Kaus Owiton Ku Matai telah dibuat di Sinilou Kibambangan Water Park, yang terletak di daerah Penampang. Lokasi ini sangat menarik dan sesuai untuk bersantai bersama keluarga. Waktu itu memang ramai pengunjung, namun syukur semua kru produksi memberikan kerjasama dan sokongan padu sehingga saya dapat menghabiskan penggambaran dengan jayanya,” katanya.
Tambah Tons, muzik video lagu tersebut kini telah siap dan dipasarkan di platform digital FH Cinema dengan harga RM25, dalam bentuk Muzik TV dan karaoke.
“Saya sangat berharap agar mendapat sokongan padu daripada semua untuk membeli album ini dan menyukai lagu-lagu yang terdapat dalam album tersebut,” katanya mengakhiri perbualan.


