
Tidak sampai 24 jam selepas hantaran kontroversi yang dimuat naik oleh Kentash mengenai dakwaan menjadi mangsa penipuan RM300 oleh individu bernama Farah Bakar, hantaran tersebut telah dipadam, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet.
Menurut kenyataan terbaharu Kentash di platform X, hantaran berkenaan dipadam selepas Farah menghubungi beliau untuk memohon maaf dan memberikan penjelasan berhubung isu tersebut, di samping berkongsi satu paparan tangkapan layar perbualan antara mereka.
"Saya minta maaf kalau bantuan yang dihulurkan kepada saya menimbulkan masalah. Saya terlalu naif sebab niat saya hanya mahu bantu mereka yang susah datang kepada saya.
"Saya ada keluarga, anak, dan mertua. Semua serba salah disebabkan hantaran di halaman Kentash. Saya hanya mohon untuk bersihkan nama saya. Saya tidak pernah berniat jahat, tetapi kesilapan saya adalah terlalu mempercayai orang," ciapnya.
"Saya ada keluarga, anak, dan mertua. Semua serba salah disebabkan hantaran di halaman Kentash. Saya hanya mohon untuk bersihkan nama saya. Saya tidak pernah berniat jahat, tetapi kesilapan saya adalah terlalu mempercayai orang," ciapnya.
Farah turut masuk ke ruangan komen hantaran tersebut dengan memaparkan gambar pemulangan semula duit RM300 kepada Kentash.
Di ruangan komen, ramai yang memuji tindakan Kentash yang memilih untuk memaafkan Farah dan mengakhiri isu tersebut secara baik. Tidak kurang juga warganet yang memberikan nasihat dan pandangan untuk mengelakkan perkara seperti ini berulang.
"Ini tindakan terbaik untuk tutup mulut-mulut orang. Kalau boleh, pulangkan saja wang orang yang sudah menyumbang dan hentikan misi itu. Fokus pada diri dan keluarga, insya-Allah semuanya akan baik-baik saja," kata Rose Bibi.
"Mungkin sis tak tahu, tetapi mengutip wang dari orang awam tanpa izin adalah satu kesalahan jenayah. NGO pun perlu buat laporan polis dan sediakan akaun khas untuk kutipan. Belajar dari kejadian ini," ujar Shaidatul Nurhidayah Masdan.
"Farah Bakar, lepas ini tak perlu bantu orang lagi. Fokus pada keluarga dan kesihatan," tambah Faris Aisy.
Di samping itu, ramai juga yang bersimpati dengan Farah dan memahami niat baiknya.
"Dia terlalu naif. Saya ikut sis Farah juga. Dia seorang yang berhati besar mahu bantu orang, tetapi sering terkena," ujar Marilyn Andrew Stephen Tati.
"Farah faham kesusahan orang sebab dia sendiri pernah alami kehidupan yang susah. Tapi mungkin dia perlu berhenti bantu orang lain dan fokus pada keluarga sendiri," kata Na Nang.
Tindakan pantas Kentash memadam hantaran lama dan menguruskan isu ini secara profesional juga mendapat pujian.
"Sikap Kentash memang hebat. Bila ada masalah, dia selesaikan tanpa tinggal sisa," kata Rodzyitah Lagahung.
"Saya salute Kentash. Semoga terus sukses. Tidak semua perkara perlu diutarakan, semakin tenang seseorang, semakin jernih cara fikirnya," ujar Martina Ginduk.
"Salute pada kedua-duanya kerana saling memaafkan. Kentash baik hati untuk membantu, dan Farah pula berniat membantu orang susah meskipun dirinya sendiri dalam kesusahan," tambah Nurul Ain Yakop.
Dalam pada itu, bagi membersihkan namanya supaya tidak dijadikan bahan hinaan dan kejian warganet, Farah dalam satu perkongsian di halaman X berkongsi gambar keterlibatannya dalam membantu orang yang memerlukan.
"Dengan ini, saya ingin menutup segala kekeliruan serta tanggapan salah daripada individu-individu tertentu.
"Saya memohon maaf kepada mereka yang pernah saya bantu kerana terpaksa mendedahkan situasi ini. Ketika ini, saya sedang berdepan dengan kutukan dan fitnah daripada sesetengah pihak yang mengenali mereka.
"Prinsip saya selama ini adalah ‘biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.’ Saya sentiasa menjaga aib orang lain kerana tidak semua orang selesa diketahui mereka pernah dibantu.
"Namun, tindakan saya telah disalahertikan, dan saya benar-benar memohon maaf jika hal ini telah melukai perasaan banyak pihak.
"Terus terang, saya takut membaca komen-komen yang muncul. Ada yang mengaku mengenali saya, ada pula yang terang-terangan memfitnah dan merekakan cerita. Tidak kurang juga yang melontarkan sumpah seranah.
"Saya anggap semua ini sebagai pengajaran akhir tahun. Walaupun saya masih terkejut dengan situasi ini, keluarga saya turut menanggung malu akibatnya.
"Sebagai makluman, Mama UUC baru pulang dari kerja tadi, dan dia terus ke tempat kerja lain kerana ada urusan penting. Saya juga mempunyai beberapa urusan lain yang perlu diselesaikan.
"Akhir kata, sekali lagi saya memohon maaf kepada semua pihak yang mungkin terluka atau tersinggung dengan tindakan saya," ciapnya.
Gambar-gambar individu pernah dibantu Farah




