
Hampir sebulan sejak album Muzik TV FH Idol 2 dipasarkan secara digital di FH Cinema, namun jika dilihat kepada rekod langganan, hanya sepuluh orang sahaja yang membeli album ini. Keadaan ini menimbulkan persoalan: di manakah silapnya dan apakah kekurangan dalam produk ini yang menyebabkan album yang menghimpunkan sepuluh lagu dalam bentuk Muzik TV dan karaoke tidak mendapat sambutan peminat muzik tempatan, khususnya dari Sabah?
Sejurus selepas pelancaran album ini, penerbitnya, F Harmthon Production Sdn Bhd (FHPSB), telah menjalankan pelbagai promosi melalui media massa, artikel mengenai artis yang terlibat dalam album ini, serta pengiklanan melalui Facebook Ads. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, album ini tetap gagal menarik perhatian.
Menurut Pengarah Projek, Freddy Harmthon (FH), beliau agak terkejut dan kecewa dengan sambutan yang kurang memberangsangkan.
"Kami telah mencuba pelbagai cara untuk mempromosikan album ini. Di Facebook page kami, hanya sedikit yang berkongsi dan memberi komen. Mungkin para pendengar kini lebih selesa dengan cara YouTube yang membenarkan mereka mendengar lagu secara percuma," jelasnya.
Beliau mengakui bahawa platform digital FH Cinema menawarkan perkhidmatan berbayar untuk mendengar lagu, namun harga yang dikenakan amat berpatutan.
"Ya, untuk mendengar lagu di FH Cinema, ia adalah berbayar. Namun hanya sekali sahaja, dan anda boleh mendengarnya berulang kali. Hanya RM25 untuk 10 lagu Muzik TV dan 10 lagu dalam bentuk Karaoke. Konsep ini hampir serupa dengan CD yang dijual di kedai-kedai muzik sebelum ini," katanya dengan penuh kesal.
Freddy juga menyatakan bahawa jika keadaan ini berlarutan, industri muzik tempatan mungkin akan menghadapi jalan buntu.
"Sekarang ini, bukan kami saja tapi syarikat rakaman menghadapi kesukaran untuk mencari keuntungan. Kos membayar lesen tahunan yang mencecah ribuan ringgit pun sukar untuk ditampung. Penyanyi juga lebih cenderung memilih studio rakaman yang tidak berlesen kerana harga yang lebih murah," tambahnya.
Sedutan album FH Idol 2
Freddy juga menekankan betapa merugikannya keadaan ini untuk penggiat seni.
"Sekarang ini, penggiat seni tidak mendapat pulangan yang sepatutnya. Peluang pekerjaan semakin berkurangan kerana produk yang dihasilkan tidak dapat dijual, sedangkan kos rakaman sehingga ratusan ringgit dan boleh mencecah ribuan ringgit untuk penerbitan Muzik TV dan karaoke.
“Menurut pengalaman kami, Penyanyi hanya merakam satu lagu untuk memuaskan hati atau mencapai impian mereka, tetapi mereka tidak akan berterusan dalam industri ini apabila melihat ekosistem yang tidak menguntungkan.
"Ini sangat merugikan. Pengeluaran lagu memerlukan belanja ratusan ringgit, namun tiada keuntungan yang diperoleh selepas itu. Tiada pendapatan yang datang selepas mengeluarkan belanja untuk membuat lagu. Keadaan ini menjadikan ramai penggiat seni terpaksa mencari alternatif lain untuk bertahan," jelas Freddy lagi.
Beliau sangat berharap agar warga Sabah dapat menyokong industri muzik dan sekali gus menyokong pembangunan platform digital FH Cinema, yang jelas dapat memberi peluang kepada studio rakaman dan penyanyi untuk menjana pendapatan melalui penjualan album.
"Sekurang-kurangnya dengan adanya platform ini, kita dapat membantu mereka menghasilkan pendapatan yang lebih baik. Tetapi, jika sambutan terhadap album seperti FH Idol ini berlarutan, kita akan menghadapi masa depan yang suram untuk industri muzik kita," katanya lagi.
Tidak hanya muzik, Freddy juga mengakui bahawa filem yang dipasarkan di FH Cinema turut menghadapi cabaran yang sama.
"Walaupun kami telah melakukan pelbagai usaha promosi melalui media massa dan Facebook Ads, sambutan untuk filem-filem kami juga amat mengecewakan. Kami harap lebih banyak penonton akan menyokong platform ini," tambahnya.
Beliau sangat berharap agar usaha membangunkan platform ini akan mendapat sambutan yang lebih memberangsangkan, termasuk sokongan terhadap album FH Idol yang kini dipasarkan.
"Terima kasih kepada 10 orang pembeli album ini. Kami menerima apa yang berlaku dengan hati terbuka. Untuk menghasilkan album ini, bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak cabaran yang kami hadapi dari segi sumber manusia, kos, dan masa. Namun, jika sambutan tetap seperti ini, saya mungkin perlu berfikir untuk mencari bidang lain," akhirinya dengan penuh kesedihan.
Jika keadaan ini berterusan, bukan sahaja FHPSB, tetapi mungkin seluruh ekosistem seni muzik tempatan akan menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan kelangsungan industri ini.

