
KOTA KINABALU – Media sosial menjadi medan perdebatan hangat selepas kenyataan mengejutkan figura sukan dan seni terkenal Sabah, Ebi Kornelis, yang meluahkan rasa kecewa kerana dihina dengan gelaran "anjing" oleh individu tidak dikenali.
Ebi, pemenang pingat emas pertama Sabah dalam sejarah Sukan Sabah Games (SAGA) dan ikon seni, memuat naik status penuh emosi di Facebook, mengundang pelbagai reaksi daripada peminat, rakan artis, dan warganet.
"Aku pun tidak tahu, adakah kenyataan aku sebelum ini dianggap menghina. Aku terus minta maaf saja. Tapi aku terasa, mungkin aku telah tersalah cakap. Aku kena hina, dikatakan seperti anjing. Tapi aku rasa, aku tidak pernah diberi makan oleh orang yang bercakap seperti ini."
Kenyataan itu dibuat selepas Ebi menerima mesej melalui WhatsApp yang mengandungi penghinaan, menyamakannya dengan kisah anjing yang menggigit tuannya selepas diberi makan, berikutan perkongsiannya mengenai artikel akhbar atas talian bertajuk "New Sabah Yang di-Pertua Negeri To Be Announced Tomorrow".
Di ruangan komen, ramai warganet tampil menyuarakan sokongan terhadap Ebi serta meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penghinaan yang diterima.
Rusdi Asir: “Jangan sembunyikan, bos. Dedahkan terus muka individu tersebut supaya seluruh Sabah tahu. Berat betul penghinaan seperti itu, patut dihukum.”
Verninandus Kornelis: “Kasi viral sahaja nama dia. Kita lihat siapa sebenarnya yang seperti anjing nanti.”
Rey Zairey P: “Tidak ada kaitan dengan perumpamaan itu, Ebi. Sesuka hati menghina orang dengan panggilan anjing, sungguh kurang ajar.”
Mariana Marcus: “Karya kamu tidak ternilai jika dibandingkan dengan setiap cercaan yang dilemparkan. Teruskan berkarya, kamu pasti boleh! Semangat, saudara!”
Ada juga yang mencadangkan agar Ebi mendedahkan identiti individu tersebut sebagai pengajaran kepada orang lain. Ramai bersetuju bahawa penghinaan seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan tanpa tindakan.
Walaupun dihujani pelbagai komen beremosi, Ebi dilihat mengambil pendekatan yang lebih tenang. Dalam beberapa respons ringkas kepada warganet, beliau mengingatkan agar semua pihak kekal profesional walaupun berhadapan dengan cabaran dan provokasi.
“Saya tidak mengharapkan penghargaan berlebihan, tetapi penghinaan sebegini tidak patut berlaku. Saya hanya berkongsi pendapat, tidak lebih daripada itu,” kata Ebi.
Nama Ebi Kornelis tidak asing lagi dalam dunia sukan dan seni Sabah. Dengan dedikasi serta karya yang membanggakan, ramai berharap beliau terus tabah menghadapi cabaran seperti ini dan kekal menjadi inspirasi kepada masyarakat.


