
KEMAMAN, 21 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri Besar Terengganu menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman hari ini. Majlis tersebut turut dihadiri oleh pemimpin negeri serta masyarakat setempat dalam suasana penuh keakraban.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas keterbukaan dalam menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat, walaupun berbeza fahaman politik.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk turun ke negeri-negeri bagi mendengar pandangan adalah satu pendekatan berstruktur yang jarang dilakukan oleh pimpinan terdahulu.

“Saya mengakui masih banyak usaha diperlukan bagi memenuhi keperluan rakyat Terengganu. Namun, pertemuan seperti ini diyakini mampu memperkukuh sinergi antara negeri dan persekutuan untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu yang dihadapi rakyat,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri dalam penyaluran bantuan dan peruntukan. Beliau menyatakan bahawa Terengganu adalah antara tiga negeri yang menerima pemberian tertinggi daripada Persekutuan, selain Sabah dan Sarawak.
“Bagi tahun 2024, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan lebih RM1.8 bilion bagi belanja pembangunan di Terengganu, meningkat sebanyak RM239 juta berbanding tahun sebelumnya. Ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan negeri terus berkembang demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan Kerajaan MADANI untuk memperluaskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM250 kepada lebih 70,000 penerima. Bantuan ini akan diberikan kepada guru KAFA, takmir, imam, bilal, tok siak, noja, dan marbut sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka dalam masyarakat menjelang sambutan Aidilfitri.
Selain pengumuman berkaitan pembangunan dan bantuan kewangan, Perdana Menteri turut menyeru umat Islam agar memanfaatkan sepuluh malam terakhir Ramadan untuk meningkatkan ibadah dan ketakwaan kepada Allah SWT. Beliau mengingatkan bahawa kesibukan dunia tidak seharusnya melalaikan umat Islam daripada merebut ganjaran besar yang dijanjikan dalam bulan penuh keberkatan ini.
Majlis berbuka puasa ini menjadi platform penting bagi mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dan persekutuan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat.
