
Kota Kinabalu, 15 April 2025 – FH Cinema, platform digital pertama di Malaysia yang memfokuskan kepada penstriman kandungan filem dan muzik tempatan secara eksklusif kepada pembeli, kini sedang melangkah ke peringkat antarabangsa apabila kandungannya mula boleh diakses oleh penonton dari seluruh Asia dan Eropah.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik dalam memperkukuh kedudukan FH Cinema sebagai platform penstriman digital tempatan yang kompetitif di pasaran global, sekaligus memperluas peluang kepada penggiat seni tanah air untuk memasarkan hasil karya mereka ke luar negara.
“Ini adalah permulaan penting dalam usaha kami memperkenalkan karya tempatan ke pasaran yang lebih luas. Dengan capaian merentas sempadan, kami yakin lebih banyak penggiat seni akan melihat potensi sebenar platform ini,” – Freddy Harmthon, Pengarah Urusan dan Pengasas FH Cinema.
Sebagai tambahan kepada peluasan capaian geografi, FH Cinema turut meningkatkan tahap keselamatan kandungan video menerusi sistem sekatan rakaman skrin, sekali gus mengurangkan risiko cetak rompak dan penyebaran tidak sah.
Platform ini juga kini menyokong penstriman dalam pelbagai resolusi, termasuk 4K, 1080p dan 720p, yang membolehkan penonton menikmati kandungan dengan lancar serta mesra data, berdasarkan kelajuan internet masing-masing — tanpa kompromi dari segi kualiti mahupun keselamatan.
FH Cinema menawarkan akses eksklusif kepada pembeli yang menyokong kandungan tempatan melalui sistem pembelian digital. Model ini bukan sahaja memberikan pulangan adil kepada pencipta, tetapi juga membantu memupuk kesedaran tentang kepentingan menyokong industri kreatif melalui saluran sah.
“Kami percaya platform digital seperti FH Cinema adalah kunci untuk membina ekosistem yang sihat dan mampan dalam industri hiburan negara. Visi kami adalah untuk melihat kandungan Malaysia ditonton dan dihargai oleh khalayak global,” katanya.
Menariknya, FH Cinema juga menyokong siaran langsung pelbagai acara, sama ada secara berbayar mahupun percuma — menjadikannya sebuah platform serba boleh yang menyokong pelbagai bentuk hiburan digital.
Kini dalam fasa percubaan sistem baharu, FH Cinema dijangka melancarkan versi rasmi dalam masa terdekat. Freddy turut menyeru semua peminat seni serta pemain industri kreatif tanah air untuk bersama-sama menyokong platform ini dalam usaha memartabatkan karya anak tempatan di peringkat antarabangsa.


