
KOTA KINABALU, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah hari ini tampil menafikan dakwaan yang mendakwa pihak mereka telah melantik seorang individu bukan warganegara sebagai Pengarah Produksi.
Menurut kenyataan media yang dimuat naik oleh RTM Sabah di laman Facebook rasmi mereka, dakwaan berkenaan adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas. Individu yang dinamakan dalam tuduhan tersebut ialah Faijis bin Mejal @ Yuri Mejal. Tuduhan itu dikatakan mula tular selepas dimuat naik oleh seorang penggiat seni tempatan Sabah, Jestie Alexius, menerusi akaun media sosialnya sejak 4 Julai 2025.
RTM Sabah turut menjelaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam pemberian sebarang dana kepada individu terbabit, sekali gus menolak sebarang kaitan langsung antara jabatan itu dengan individu yang dimaksudkan.
Berikutan penyebaran dakwaan yang boleh menjejaskan imej organisasi, RTM Sabah memaklumkan bahawa laporan rasmi telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap individu yang menyebarkan maklumat tidak sahih ini.
Kontroversi ini turut mengundang reaksi daripada bekas warga RTM sendiri. Salah seorang daripadanya ialah Arnez Hamidi, bekas penyiar RTM, yang tampil memberi penjelasan di ruangan komen kenyataan media tersebut di Facebook. Menurut beliau, terdapat kekeliruan dalam memahami peranan sebenar RTM dalam penyiaran drama atau program hiburan.
Beliau menjelaskan bahawa RTM bukan penerbit kepada kebanyakan drama yang disiarkan di salurannya, sebaliknya hanya membeli hak siar daripada syarikat produksi swasta yang memenuhi kriteria teknikal dan kandungan. Oleh itu, soal pelantikan pengarah, pelakon mahupun kru produksi bukanlah berada di bawah bidang kuasa RTM, melainkan jika program itu diterbitkan sendiri oleh pihak RTM.
Tambah beliau, sebarang penglibatan individu asing dalam program terbitan RTM perlu melalui proses kelulusan yang ketat melibatkan beberapa agensi kerajaan termasuk Imigresen dan pihak polis, dan bukannya boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Menurut Arnez lagi, RTM sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang mahukan kepastian, dan seharusnya ruang perbincangan wajar dimanfaatkan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan secara terbuka di media sosial.
Tindakan Jestie Alexius yang memuat naik dakwaan di media sosial bukan sahaja mencetuskan kekeliruan awam, malah dilihat sebagai tidak beretika kerana dibuat tanpa bukti kukuh. Dalam landskap digital masa kini, pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat, khususnya yang membabitkan reputasi individu atau institusi.


