
Putatan: Satu bengkel muzik Asas Mixing dan Mastering menggunakan perisian CUBASE 10.5 telah diadakan di Green Screen Studio, di syarikat Penerbitan dan Pengedaran, Filem dan Muzik F Harmthon Production Sdn Bhd selama dua hari pada 17 dan 18 Februari 2024.
Seramai lima peserta yang menyertai program tersebut dan telah menerima sijil penyertaan, antaranya Muhamad Sahril Thomas dari Putatan, William Justin Thaddeus dari Penampang, Pius Godsung dari Tamparuli, dan Jaim Kayou dari Kemabong, serta peserta tunggal dari Sarawak Gunggang Anak Mail.
Sepanjang program selama dua hari anjuran syarikat F Harmthon Production Sdn Bhd ini, semua peserta telah didedahkan mengenai teknik untuk membuat susunan muzik bermula daripada awal sehinggalah peringkat Mastering.
Shahril Thomas (Putatan)

Menurut Pengarah Urusan Syarikat tersebut Freddy Harmthon atau FH, semua peserta telah mengambil bahagian dengan baik dan memberikan tumpuan sepanjang dua hari program.
“Kita buat program ini santai sambil ketawa tanpa tekanan. Semua peserta juga bebas bertanya dan berbincang satu sama lain.
“Apa yang saya nampak, mereka semua telah mampu mengikuti teknik membuat muzik dari awal sehingga akhir.
“Ada antara mereka langsung tidak tahu bagaimana untuk bermain keyboard, namun setelah menyertai program ini mereka sudah tahu membuat kod muzik menggunakan keyboard.
Gunggang Anak Mail (Sarawak)

“Namun untuk memantapkan lagi kualiti bunyi, ia memerlukan latihan yang berterusan dan banyak mendengar lagu-lagu sedia ada,” katanya.
Tambah FH lagi, sungguhpun telah tamat bengkel beliau berkomitmen untuk terus memberikan tunjuk ajar kepada lima peserta ini secara online sehingga mereka mampu membuat produk sendiri.
“Seperti pelajar mana-mana sekolah atau di mana-mana pengajian, mereka juga perlukan bimbingan selepas alam persekolah. Nah, seperti itu lah juga peserta bengkel ini yang memerlukan bimbingan berterusan.
“Apa yang penting adalah, kita sama-sama majukan industri muzik di Malaysia terutama Sabah dan Sarawak, dan bekerjasama antara satu sama yang lain tanpa melihat kepada keuntungan semata-mata.
Pius Godsung (Tamparuli)

“Setiap tahun pihak kerajaan ada mengeluarkan dana muzik untuk semua penggiat muzik yang boleh mengeluarkan produk. Pernah ada dana sehingga RM50,000.00, dan RM10,000.00 bagi membeli peralatan studio.
“Mereka yang telah menyertai program ini berpeluang untuk menerima dana dan ini adalah peluang mereka untuk menjana pendapatan sampingan,”katanya.
Ujarnya lagi, beliau akan mengadakan sesi kedua program ini pada bulan Mei dan mensasarkan hanya lima peserta dalam satu masa.
“Ini adalah peluang besar bagi sesiapa yang berminat untuk menjana pendapatan dalam bidang ini. Tidak pernah diadakan bengkel seperti ini dan rebutlah peluang yang ada.
Jaim kayou (Kemabong)

“Walaupun boleh belajar di YouTube tetapi ia tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka. Selain itu, pembelajaran berterusan juga boleh kita buat selepas tamat bengkel secara atas talian.
“Untuk bengkel pada Mei kita sasarkan lima peserta untuk bengkel agar mudah untuk saya, menyelia dan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam perbincangan serta penyelesaian masalah,”akhirinya.
Untuk mereka yang berminat menyertai program ini pada Mei, boleh mengisi borang seperti dalam link ini: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSe9iPA22f-dSZ-1kZ2w-bSNV3afEe6mHVXy5UAOLTEP5zGFUg/viewform
Sesi pembelajaran bersama semua peserta. William J. Thaddeus dua dari kiri hadapan.

Contoh dana yang pernah dikeluarkan oleh Kerajaan dalam bidang muzik

Contoh dana yang pernah dikeluarkan oleh Kerajaan dalam bidang muzik

