
Di sebalik kesibukan dunia muzik yang semakin pantas berubah, penyanyi, komposer dan pemilik studio rakaman, James Sami, memilih untuk melangkah dengan lebih matang — bukan hanya sebagai penggiat seni, tetapi sebagai penghasil bunyi yang mahu berdiri atas nilai kualiti dan identiti produksi sendiri.
Tahun lalu, bagi James, bukan sekadar perjalanan kerjaya seperti biasa. Ia merupakan fasa pembentukan semula hala tuju kreatifnya — dari sekadar menerbitkan lagu kepada usaha membina signature sound yang lebih kemas, berkarakter dan bertanggungjawab terhadap mutu produksi.
“Tahun lalu bagi saya adalah fasa pendewasaan dalam kualiti produksi. Saya mula bergerak daripada sekadar menghasilkan muzik kepada membina signature sound yang lebih matang dalam setiap terbitan studio,” katanya ketika ditemu bual.
Antara projek yang paling memberi kesan kepadanya ialah penerbitan sebuah album digital penuh yang memerlukan lebih banyak keberanian teknikal dan eksplorasi bunyi. “Album itu memaksa saya meneroka genre yang lebih teknikal. Ia bukan sekadar projek muzik, tetapi proses pembelajaran sebagai produser,” jelasnya.
Namun di sebalik proses kreatif, cabaran terbesar yang perlu dihadapi ialah mengimbangi masa antara kerja seni dan pengurusan operasi studio. James mengakui tugas sebagai komposer dan pemilik studio tidak hadir dalam satu bentuk yang mudah.
“Sebagai komposer, kita perlukan ruang kreatif. Sebagai pemilik studio pula, kita perlu urus sistem kerja dan kos produksi. Saya atasi perkara ini dengan membina workflow yang lebih sistematik dan melantik pasukan sokongan yang dipercayai,” ujarnya.
Ditanya mengenai perkembangan industri muzik di Sabah, beliau kini melihatnya daripada perspektif yang lebih luas — bukan sekadar platform populariti, tetapi satu ekosistem yang harus mampan.
“Setiap produk seni mesti ada kualiti audio yang tinggi — dan pada masa sama memberi pulangan yang menggembirakan kepada semua yang terlibat,” tambahnya.
Dari sudut kreativiti, James mula memberi ruang kepada penggunaan instrumen live dan tekstur bunyi organik bagi menghasilkan komposisi yang lebih hidup serta realistik.
“Saya mula kurangkan pergantungan kepada bunyi digital semata-mata. Saya bereksperimen dengan instrumen live dan elemen ambien supaya lagu terasa lebih manusia,” katanya.
Bekerjasama dengan artis pelbagai generasi turut mempengaruhi cara beliau berkarya.
“Kolaborasi dengan bakat muda mengingatkan saya kepada semangat asal dalam bermuzik, manakala artis senior mengajar saya ketelitian dan finesse dalam produksi,” jelasnya.
Antara karya paling dekat di hatinya ialah Sunudai Oku dan Waya Piginawaan, yang menurutnya lahir dalam fasa emosi yang jujur.
“Kedua-dua lagu ini ditulis dalam fasa emosi yang sangat jujur — tanpa tekanan komersial yang melampau. Ia karya yang datang dari hati,” katanya.
Dari sudut operasi, studionya turut melalui peningkatan apabila susun atur produksi dinaik taraf dan lebih 30 buah lagu berjaya disiapkan sepanjang tahun lalu. Hasratnya kini ialah menjadikan studio tersebut sebagai ruang pembangunan kreatif yang lebih menyeluruh.
“Saya mahu studio ini menjadi hub kreatif. Bukan tempat rakam suara sahaja — tetapi tempat artis datang belajar tentang nilai sebenar sebuah produksi yang berkualiti,” katanya.

Memasuki tahun baharu, pemilik studio TJC Talent ini merancang memperluaskan jaringan kolaborasi ke peringkat serantau selain memperkukuhkan jenama studionya. Beliau juga bakal melancarkan sebuah single baharu bertemakan Modern Dance Rock sekitar bulan Mei.
“Untuk tahun ini, saya mahu menghasilkan bunyi yang lebih timeless — muzik yang masih enak didengar walaupun 10 tahun akan datang,” ujarnya.
Antara impian yang ingin dicapai ialah meraih pengiktirafan teknikal serta menganjurkan showcase untuk artis-artis di bawah naungan studionya.
Mengenai hala tuju industri muzik tempatan, James mengakui kualiti produksi semakin meningkat seiring kemajuan teknologi — namun dalam masa sama wujud risiko baharu.
“Teknologi memang membantu — tetapi kita perlu pastikan jiwa dalam lagu tidak hilang ditelan algoritma media sosial atau automasi AI,” katanya.
Beliau juga melihat ketepuan pasaran sebagai cabaran utama bagi artis dan komposer masa kini.
“Menerbitkan lagu sekarang sangat mudah, tetapi untuk kekal relevan dalam jangka masa panjang — itu cabaran sebenar,” jelasnya.
Kepada bakat muda, James menekankan pentingnya disiplin, ilmu dan integriti kerja.
“Jangan hanya kejar viral. Laburkan masa untuk belajar ilmu teknikal muzik dan jaga integriti dalam bekerja. Bakat bawa anda ke pintu kejayaan — disiplin yang mengekalkan anda dalam industri,” katanya.
James turut merakamkan penghargaan kepada para pendengar dan penyokong karya-karyanya.
“Terima kasih kepada semua yang menghargai setiap butiran kecil dalam hasil produksi saya. Sokongan anda adalah nadi yang membolehkan studio ini terus bernafas,” ujarnya.

