
Kota Kinabalu, Sabah — Selepas sekian lama tergendala dan dihimpit pelbagai kekeliruan serta salah faham, barisan pelakon dan kru yang terlibat dalam projek filem Komando Pencen akhirnya mencapai kata sepakat untuk meneruskan semula penerbitan filem tersebut secara berperingkat dan berlandaskan prosedur yang betul.
Filem Komando Pencen yang mula diusahakan sejak tahun 2018 merupakan karya arahan mendiang Tony Francis Gitom, seorang tokoh yang cukup dikenali dan dihormati dalam industri perfileman tempatan. Namun, projek ini terhenti atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.
Pemergian mendiang Tony baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai persepsi, tuntutan dan luahan daripada pelbagai pihak yang terlibat — sama ada secara langsung mahupun tidak langsung — termasuk pelakon dan kru produksi. Keadaan tersebut turut membawa kepada perbalahan terbuka di media sosial dan aplikasi perbualan, yang dilihat tidak sihat dalam ekosistem industri kreatif tempatan.
Bagi meredakan keadaan dan mencari jalan penyelesaian, satu sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan di Studio FTV Production pada Khamis, melibatkan kehadiran secara bersemuka dan juga secara atas talian. Sesi ini dipengerusikan oleh Director of Photography (DOP) filem berkenaan, Jarren Deff Juas.

Jarren mempengerusikan mesyuarat
Dalam perjumpaan tersebut, semua pihak diberi ruang untuk menyuarakan pandangan, luahan serta kebimbangan masing-masing secara terbuka dan matang. Hasil daripada perbincangan itu, semua yang hadir akhirnya mencapai persetujuan sebulat suara untuk berganding bahu meneruskan semula projek Komando Pencen, dengan sasaran tempoh enam bulan bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan dapat dijalankan secara tersusun dan realistik.
Antara perkara penting yang turut disentuh dalam mesyuarat tersebut ialah isu hak cipta dan pemilikan karya. Semua pihak sepakat untuk menghormati bahawa hak karya filem Komando Pencen adalah milik mendiang Tony, dan selepas pemergiannya, hak tersebut kekal bersama keluarga mendiang.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau pertikaian pada masa hadapan, semua yang hadir bersetuju untuk mengambil inisiatif mengadakan kunjungan rasmi kepada keluarga mendiang dalam masa terdekat. Kunjungan ini bertujuan menyampaikan hasrat meneruskan projek secara beretika dan profesional, selain mendapatkan persetujuan serta dokumen rasmi sebagai asas penerusan produksi, termasuk membincangkan beberapa perkara penting berkaitan penerbitan terdahulu.
Langkah mendapatkan persetujuan rasmi daripada keluarga mendiang ini dilihat sebagai satu proses penting sebelum sebarang kerja produksi dimulakan semula. Ia juga mencerminkan rasa hormat terhadap legasi mendiang Tony serta usaha memastikan projek ini diteruskan tanpa menjejaskan mana-mana pihak.

sepakat teruskan penerbitan Komando Pencen
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, satu lagi mesyuarat susulan oleh pasukan pelaksana projek dalam skala lebih kecil akan diadakan bagi tujuan sesi brainstorming, penyusunan semula fail produksi serta memperhalusi jalan cerita. Ini termasuk menangani isu ketiadaan skrip asal yang sebelum ini disimpan oleh pengarah terdahulu.
Kesepakatan yang dicapai ini bukan sahaja dilihat sebagai usaha menyelamatkan sebuah projek filem, malah menjadi simbol kematangan industri kreatif tempatan dalam menyelesaikan konflik melalui dialog, persefahaman dan penghormatan terhadap hak serta legasi individu yang telah banyak menyumbang kepada dunia seni.
Semua pihak berharap agar projek Komando Pencen dapat diteruskan dalam semangat kebersamaan, profesionalisme dan tanggungjawab bersama — sebagai penghormatan kepada mendiang Tony serta sebagai hadiah buat penonton yang sekian lama menantikan penyempurnaan karya ini.
Hadir dalam perjumpaan tersebut secara bersemuka ialah Pengurus Projek, Monica Edward Ading, bersama Johnny Damianus, Kent Lim, Sean, Anthony, Azmie, Ronny S, Melvin, Ranita, Martin S, Ajat A, Esak Kilan, Benita, Mawi, Ben dan antara lain. Turut hadir Pengarah FTV Production Sdn Bhd, Flora Juanis, yang menyampaikan kata-kata semangat serta nasihat kepada semua pihak sebelum perbincangan dimulakan, manakala Pengarah FH Production Sdn Bhd, Freddy Harmthon, hadir sebagai pemerhati.
Hadir dalam perjumpaan tersebut secara bersemuka ialah Pengurus Projek, Monica Edward Ading, bersama Johnny Damianus, Kent Lim, Sean, Anthony, Azmie, Ronny S, Melvin, Ranita, Martin S, Ajat A, Esak Kilan, Benita, Mawi, Ben dan antara lain. Turut hadir Pengarah FTV Production Sdn Bhd, Flora Juanis, yang menyampaikan kata-kata semangat serta nasihat kepada semua pihak sebelum perbincangan dimulakan, manakala Pengarah FH Production Sdn Bhd, Freddy Harmthon, hadir sebagai pemerhati.
